JOHOR BAHRU: Sebuah bot milik Jabatan Perikanan Negeri Johor bersama empat krunya, hilang dalam perjalanan ke Pangkalan Tampoi, petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 mengenai kehilangan bot itu, pada jam 7.51 malam tadi.
Bot Jabatan Perikanan Negeri Johor dengan nombor pendaftaran PL87 bersama empat orang krunya dilaporkan tidak dapat dihubungi.
“Bot dan empat krunya gagal dikesan selepas berlepas dari Tanjung Pengelih, Kota Tinggi, sekitar jam 12.45 tengah hari semalam dan sepatutnya tiba di Pangkalan Tampoi pada jam 6.30 petang semalam.
“Sehubungan itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) bagi mengesan sebuah bot milik Jabatan Perikanan Negeri Johor yang dilaporkan hilang itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan laporan yang diterima itu, MRSC Johor Bahru telah mengaktifkan Op Carilamat bermula jam 8.00 malam tadi.
Maritim Malaysia menggerakkan bot Pengawal 46 dan bot Kilat 18 bagi mengesan bot dan mangsa yang hilang.
“PPM Wilayah Dua turut menggerakkan tiga aset merekabagi membantu pencarian.
“Lokasi pencarian ditumpukan pada sekitar perairan Tuas, Singapura dan Tanjung Piai.
“Ia berikutan maklumat diterima dari pihak berkuasa Singapura mengenai lokasi terakhir Bot PL87 itu dikesan di perairan Tuas sekitar jam 3 petang semalam,” katanya.
MRCC Putrajaya juga telah berhubung dengan pihak berkuasa Singapura dan Indonesia sekiranya terdapat maklumat lanjut atau pengesanan lanjut mengenai bot PL87 di perairan negara jiran. – BERITA HARIAN