Tumpuan :
Nasional

Bot bawa penumpang berlebihan, abai risiko keselamatan ditahan

FOTO: APMM Terengganu

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu menahan sebuah bot penumpang pagi semalam yang didapati membawa muatan melebihi had dibenarkan serta mengabaikan aspek keselamatan demi mengejar keuntungan.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abdul Majid, berkata bot tersebut ditahan dalam Op IMAN ketika dalam perjalanan dari Kuala Besut menuju ke Pulau Perhentian, sekitar 0.9 batu nautika timur laut Muara Kuala Besut.

“Bot tersebut ditahan jam 11 pagi semalam, dan hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa 20 penumpang, termasuk nakhoda, pembantu nakhoda serta tujuh kanak-kanak, dan kesemua mereka didapati tidak memakai jaket keselamatan.

“Selain itu, bot tersebut didapati beroperasi tanpa lesen sah daripada Jabatan Laut Malaysia serta membawa penumpang melebihi kapasiti yang dibenarkan,” katanya.

Tegasnya, tindakan segelintir pengusaha yang mengabaikan prosedur keselamatan seperti pemakaian jaket keselamatan serta penyelenggaraan peralatan kecemasan, termasuk alat pemadam api yang tamat tempoh, boleh mengundang risiko kehilangan nyawa pada bila-bila masa.

“Kami memandang serius isu ini dan akan mempertingkatkan rondaan di kawasan-kawasan aktiviti pelancongan bagi memastikan keselamatan pelancong serta mencegah sebarang insiden tidak diingini,” ujarnya.

Bot berkenaan dibawa ke Jeti Pos Maritim Besut untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini