Tumpuan :
Nasional

Bomoh direman cabul kanak-kanak perempuan

Foto hiasan

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

DUNGUN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, menjadi mangsa cabul oleh seorang bomoh lelaki berusia 20 tahun.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Khairi Khairudin berkata, hasil sisatan mendapati, suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes rogol.

“Siasatan lanjut mendapati, suspek ada rekod jenayah lampau berkait kes pelbagai antaranya kes 376, suspek ini masih bujang berusia 20 tahun dah jadi bomoh, kita juga buat ujian air kencing ke atas suspek mendapati negatif.

“Untuk kesalahan ini kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) Kedua kontinjen Terengganu, di sini, hari ini.

Menurut Khairi, kanak-kanak yang dipercayai dicabul bomoh itu adalah mangsa pertama yang akan ditempatkan di CIC berkenaan sepanjang siasatan dijalankan.

Menurut siasatan, kejadian dikatakan berlaku di Daerah Kemaman, pada 31 Januari lalu.

Mangsa dipercayai sakit dan didakwa disihir sebelum ibu bapa mangsa membawa bomoh itu ke rumah untuk merawat.

Kemudiannya, mangsa dilaporkan dicabul ketika proses rawatan dilakukan.

Menyedari perkara jijik dilakukan oleh suspek itu, kedua ibu bapa mangsa membuat laporan polis pada 1 Januari lalu dan suspek kemudiannya dicekup polis dan direman selama enam hari bermula 2 Februari sehingga Sabtu ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini