comscore
Tumpuan :
Nasional

Bomba terkena renjatan elektrik ketika padamkan kebakaran di Sembulan

Foto ihsan JBPM Sabah

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Seorang pegawai bomba nyaris maut selepas terkena renjatan elektrik ketika menyertai operasi memadam kebakaran sebuah rumah dan bengkel di Sembulan Tengah di sini tengah hari tadi.

Kebakaran jam 12.38 itu membabitkan sebuah rumah dua tingkat dan bengkel membaiki kenderaan.

Mangsa, Mohd Ralie Abdul Manap yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu segera diberikan rawatan di tempat kejadian oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.

Kejadian itu disahkan oleh Penolong Pengarah Bahagian Operasi Negeri (PPON) Sabah, Hamsa Isnurdini menerusi satu kenyataan.

Tambah Hamsa, dalam kejadian itu, seorang awam lelaki juga terkena renjatan elektrik.

Mangsa turut diberikan rawatan di lokasi kejadian dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.

Katanya, operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Lintas dan Penampang.

Kebakaran dapat dikawal pada jam 1.22 petang.

Sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal berserta bengkel membaiki kenderaan yang berada di tingkat bawah dengan keluasan 60×46 kaki persegi musnah dalam kejadian ini.

Turut terjejas lima kenderaan milik penghuni selepas terkena bahang api.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Loading...
Terkini