Tumpuan :
Nasional

Bomba tangkap ular sawa kenyang telan kambing

Foto Ihsan Bomba

SIK: Seorang wanita terkejut apabila ternampak seekor ular sawa yang kekenyangan dipercayai baru menelan kambing peliharaannya di Kampung Keda Bendang Man, di sini, hari ini.

Wanita berusia 50-an itu menyedari kejadian itu ketika sedang menoreh getah berhampiran kandang kambing berkenaan kira-kira jam 10 pagi tadi.

Wanita itu kemudian menghubungi pihak Bomba untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, sepasukan anggota yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Shahril Salleh tiba di lokasi bersama tujuh anggota di lokasi kejadian.

Beliau berkata, ular sawa batik itu berkemungkinan tersesat selepas bencana banjir berlaku beberapa hari lalu.

“Reptilia seberat 15 kilogram dan panjangnya empat meter dipercayai lapar dan baru selesai menelan kambing Boer milik penduduk kampung itu.

“Bomba mengambil masa 15 minit untuk menangkap ular sawa itu kerana saiznya yang besar dan berat menyebabkan ia susah untuk ditarik ke ruang kerja selesa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkhairi berkata, ular sawa itu berjaya ditangkap menggunakan penjerut dan dilakukan dengan berhati-hati walaupun reptilia itu kekenyangan.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika perubahan cuaca ini terutama ketika pembersihan rumah.

“Pelbagai hidupan liar berbisa berbahaya seperti lipan, ular dan sebagainya boleh masuk ke kediaman penduduk untuk mendapatkan perlindungan selain sumber makanan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini