TUMPAT: Pihak bomba berdepan cabaran besar dalam operasi memadamkan kebakaran di kawasan pelupusan sampah di Kampung Kok Bedullah di sini, hari ini akibat asap terlalu tebal.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Kubor, Mohd Zamri Omar berkata, keadaan asap tebal sedikit sebanyak membataskan pergerakan anggota untuk penugasan.
Mengulas lanjut, katanya, kebakaran kawasan pelupusan sampah seluas 1.2 hektar itu bermula semalam dipercayai akibat cuaca panas melampau.
“Dalam operasi semalam 10 pegawai dan anggota berjaya mengawal kebakaran membabitkan separuh daripada keluasan keseluruhan.
“Untuk hari ini 12 anggota terbabit operasi sama dan kita dapati api sedikit merebak ke kawasan sekitar, namun dapat dikawal,” katanya.
Mohd Zamri berkata, pihaknya menjangkakan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya dalam masa beberapa hari lagi.
“Kami akan berbincang dengan pihak syarikat pelupusan serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk langkah seterusnya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.