Oleh: Zahir Senapiah
PONTIAN: Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pontian Baru meredah banjir menyelamatkan dua mangsa yang terperangkap di Kampung Rembah, di sini, pagi tadi.
Panggilan kecemasan diterima sekitar jam 9.30 pagi memaklumkan seorang lelaki warga emas uzur berusia 71 tahun dan seorang wanita sarat mengandung berusia 39 tahun terperangkap di dalam rumah akibat banjir.
Susulan itu, sembilan anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Hamizee Hamzah bergegas ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat.
Jurucakap JJBPM Johor berkata, sebaik tiba di lokasi, penilaian mendapati kedua-dua mangsa perlu dikeluarkan segera kerana paras air dijangka meningkat susulan hujan berterusan.
“Meskipun berdepan risiko, anggota kami tetap meredah banjir sejauh 130 meter untuk memasuki Lorong Kurnia yang telah dilimpahi air bagi menyelamatkan mangsa.
“Mangsa berjaya dibawa keluar dengan selamat menggunakan perahu,” katanya.
Kedua-dua mangsa kemudiannya dihantar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Rembah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.