AMPANG JAYA: Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang wanita warga emas yang tidak sedarkan diri dan terperangkap di dalam rumah flat yang terbakar.
Dalam kejadian jam 1.33 pagi tadi, mangsa berusia 74 tahun yang menetap di Taman Kosas di sini, diselamatkan selepas bomba memecah pintu kediaman mangsa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kebakaran membabitkan rumah flat lima tingkat.
“Kebakaran membabitkan satu unit kediaman di tingkat satu flat berkenaan yang terbakar 20 peratus.
“Terdapat seorang wanita warga emas dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mangsa dihantar ke Hospital Ampang menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa