Tumpuan :
Nasional

Bomba selamatkan pemancing hanyut hampir 12 jam

Oleh: Kadir Edison

SIBU: Terpaksa bertahan hampir 12 jam di Sungai Rajang sebelum diselamatkan oleh anggota Bomba awal pagi tadi.

Itu pengalaman yang dilalui seorang pemancing dari Kampung Salim Belalang di sini, selepas dia terjatuh dari Jambatan Durin ketika melakukan aktiviti memancing di kawasan berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kejadian itu sekitar jam 3.11 pagi memaklumkan terdapat seorang mangsa hanyut berdekatan tebingan Sibu.

“Ketika Anggota Bomba tiba di lokasi kejadian didapati seorang mangsa telah hanyut dari arah hulu Sungai Rajang dan mangsa tidak berdaya untuk berenang ketepi susulan keadaan arus sungai yang deras.

“Mangsa dikatakan telah tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai ketika sedang memancing di Jambatan Durin.

“Semasa di hanyutkan sungai, mangsa bertindak menggunakan beg galasnya untuk mengapungkan diri serta melambai sambil menjerit meminta tolong,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, ketika ditemui mangsa telah dihanyutkan arus sungai sejauh kira-kira 30 kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

Anggota bomba kemudiannya bertindak menyelamatkan mangsa menggunakan bot penyelamat jenis Whaly berserta enjin sangkut jenis Yamaha 30HP bagi memudahkan kerja-kerja penyelamatan.

Mangsa berjaya di bawa ke tebing sungai kira-kira sejam kemudian sebelum dibawa ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.

“Kita dimaklumkan oleh pihak hospital yang mangsa sedang menerima rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil,” ujarnya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini