IPOH: Dek kerana tekanan di tempat kerja, seorang lelaki bertindak tinggal di dalam hutan berhampiran Terminal Meru Raya dekat sini, selama enam hari.
Dia akhirnya diselamatkan pasukan bomba awal pagi ini selepas menerima panggilan mengenai mangsa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, lelaki berusia 41 tahun itu datang dari Kuala Lumpur ke Ipoh dengan menaiki bas dan masuk ke hutan berkenaan sejak 3 Jun lalu.
Operasi mencari dan menyelamat dilakukan selepas menerima panggilan mengenai mangsa jam 11.44 malam pada Jumaat.
Menurutnya, maklumat awal memaklumkan, mangsa memasuki kawasan hutan itu melalui laluan pencawang pembahagian utama (PPU) Tenaga Nasional Berhad (TNB) dekat Jabatan Audit Negara.
“Anggota kemudiannya membuat pencarian di sekitar lokasi dan menemui mangsa pada jam 2.46 pagi dalam jarak 3.2 kilometer,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang ditemui berpakaian warna jingga dan seluar jeans biru berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.
Katanya, mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi disertai 10 anggota itu tamat pada jam 3.53 pagi,” katanya.