KOTA MARUDU: Seramai 45 orang termasuk tujuh kanak-kanak berdepan detik cemas apabila terperangkap dalam kejadian kepala air ketika sedang menjalankan aktiviti pertandingan memancing di kolam berhampiran Kampung Longob, Jalan Tandek, di sini, petang tadi.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.11 petang.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Dusin Sagaron digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, terdapat kira-kira 45 orang terperangkap di seberang sungai akibat daripada berlakunya kepala air.
“Kejadian itu turut menyebabkan jambatan di sunyai berkenaan rosak dibawa arus deras,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Difahamkan sebelum kejadian semua mangsa sedang menjalankan aktiviti pertandingan memancing di kolam berhampiran.
Katanya, tindakan pasukan bomba menyelamat semua mangsa menggunakan tali dan tangga.
“Semua mangsa terdiri daripada 23 lelaki dan 15 wanita dewasa serta tujuh kanak-kanak berjaya diselamatkan.
“Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.
Operasi ditamatkan pada jam 6.47 petang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa