Tumpuan :
Nasional

Bomba selamatkan 14 keluarga terperangkap dalam banjir di Kota Marudu

14 keluarga di Kampung Beliajung yang terperangkap selepas rumah mereka dinaiki air diselamatkan oleh pasukan bomba. FOTO IHSAN BOMBA

KOTA MARUDU: Seramai 58 individu membabitkan 14 keluarga di Kampung Beliajung, di sini yang terperangkap selepas rumah mereka dinaiki air, petang tadi, diselamatkan anggota bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Hasbi Hajat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.15 petang.

Susulan itu, seramai 11 anggota bersama jentera lori, pacuan empat roda dan bot digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 18 kilometer dari balai bomba.

“Setibanya anggota di lokasi kejadian, terdapat 58 individu membabitkan 14 keluarga terperangkap dalam rumah disebabkan banjir.

“Mangsa terdiri daripada dua warga emas, 17 lelaki dan 25 wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki serta sembilan kanak-kanak perempuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, pasukan bomba bertindak memindahkan mangsa menggunakan bot Nadma ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan SK Teritipan.

“Selepas memastikan keadaan selamat dan tiada bahaya lain yang wujud, operasi ditamatkan jam 9.09 malam,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini