comscore
Tumpuan :
Nasional

Bomba redah banjir kilat selamatkan penduduk

ANGGOTA bomba meredah air untuk menyelamatkan penduduk yang terperangkap akibat banjir kilat di Kampung Sik Dalam. Foto: Ihsan JBPM

SIK: Kesukaran berikutan  arus kuat dan laju serta paras air yang tinggi tidak menghalang bomba untuk melakukan operasi penyelamatan mangsa banjir di Kampung Sik Dalam di sini, malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian banjir di kawasan itu pada 11.40 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Sik terbabit dalam operasi menyelamat penduduk kampung yang terperangkap dalam banjir kilat itu.

“Setibanya di lokasi, didapati banjir kilat pada paras kedalaman lebih dua meter akibat limpahan air Sungai Sik yang disebabkan hujan tanpa henti sejak petang semalam.

“Anggota kami memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) iaitu jaket keselamatan serta tali untuk meredah banjir,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkhairi berkata, paras air yang dalam serta air deras menyebabkan anggotanya terpaksa berhati-hati terutama pada waktu malam untuk menyelamatkan penduduk di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu katanya, anggotanya turut menasihatkan serta memujuk penduduk supaya keluar dari kediaman mereka berikutan paras air semakin dalam.Beliau berkata, walaupun tiada hujan, anggotanya turut melakukan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.

“Paras air menunjukkan trend penurunan namun arusnya masih laju dan penduduk berjaya dibawa keluar dengan selamat dan kini berada di rumah ahli keluarga terdekat.“Setakat ini, tiada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah ini kerana keadaan terkawal ketika ini,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini