Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mula menjalankan pemantauan kawasan serta operasi secara langsung menerusi Pusat Gerakan Operasi Kebombaan Kebangsaan (PGOK).
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, tiga negeri terlibat dalam projek rintis berkenaan iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“PGOK di bomba menggunakan enam modul utama antaranya yang memberi fokus kepada pergerakan dan pemantauan secara berterusan kepada anggota dan jentera dilokasi.
“Ia melibatkan 60 balai, empat pusat kawalan operasi. Sebagai contoh, ia berfungsi dengan memberi maklumat kepada umum pergerakan pasukan bomba yang terlibat operasi secara langsung.” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas hadir Perbarisan Tahunan JBPM Tahun 2025 di Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, di sini.
Tambahnya, PGOK juga dapat memberi notifikasi kepada ‘multi-station’.
“Jika dulu, notifikasi itu pergi kepada satu balai bomba sahaja. Tetapi dengan pelaksanaan ini, notifikasi insiden itu akan diberikan secara serentak kepada tiga balai berdekatan kawasan kejadian.”
“Sistem itu juga nanti akan mempunyai akses bersepadu dengan sistem kamera litar tertutup utama. Sekarang kita akan kerjasama dengan Perbadanan Putrajaya.
“Kita juga akan berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain.” Ujarnya.
Menurut Nor Hisham, pihaknya juga dalam perbincangan untuk mendapatkan kerjasama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk dapatkan akses untuk lebuhraya serta jalan-jalan kecil.
Projek rintis dijangka dijalankan selama dua tahun sebelum diperluas ke seluruh negara.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.