comscore
Tumpuan :
Nasional

Bomba lancar SAR cari remaja perempuan hilang, dikhuatiri lemas

Qiezlle Uyiko belum ditemui pada operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua. Foto Ihsan pembaca

KOTA BELUD: Remaja perempuan berusia 14 tahun dikhuatiri lemas ketika mandi bersama keluarga di sungai sebuah pusat pelancongan di Kampung Ratau di sini, semalam.

Mangsa, warga tempatan, dikenali Qiezlle Uyiko, 14, dilaporkan hilang pada 2.30 petang oleh ahli keluarganya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.49 petang berhubung kejadian terbabit.

Katanya, seramai sembilan anggota termasuk Pegawai Bomba Bantuan (PBB) bergegas ke lokasi kejadian berserta satu jentera dan satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Sebaik tiba di lokasi, bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejauh empat kilometer di kawasan pinggir sungai dan meliputi keluasan radius 50 meter.

Anggota bomba menjalankan SAR pada hari kedua. Foto Ihsan JBPM

“Operasi SAR ditangguh 8 malam tadi dan disambung semula 8 pagi hari ini dengan menggunakan bot,” katanya dihubungi.

Menurutnya, tinjauan hari ini juga mendapati paras sungai yang meningkat sejak semalam belum menurun selepas berlaku peningkatan akibat hujan di Hulu Kadamaian.

“Sehingga kini, belum ada sebarang petunjuk dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Loading...
Terkini