Tumpuan :
Nasional

Bomba lancar MTL RED team

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid di Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM dan pelancaran MTL RED Team di Ibu Pejabat JBPM, hari ini.

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melancarkan Pasukan Gerak Khas Monsun Timur Laut (MTL RED Team) bagi memantapkan lagi persiapan dan persediaan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan yang lebih efisien.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, 19 pasukan berkenaan diwujudkan di 11 negeri dan dua Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) yang akan digerakkan ke lokasi banjir.

“Penubuhan pasukan itu adalah penambahbaikan kepada Pusat Pangkalan Hadapan (RFB) yang sebelum ini ditempatkan di tiga lokasi sahaja iaitu di ABPM Wilayah Timur, Terengganu untuk respons di kawasan Wilayah Timur; Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perda, Pulau Pinang untuk respons di kawasan Wilayah Utara; dan BBP Ayer Hitam, Johor untuk respons di kawasan Wilayah Selatan.

“Pasukan MTL RED Team akan diletakkan di 11 negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan Kuala Lumpur serta di ABPM Wilayah Tengah dan ABPM Wilayah Utara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM dan pelancaran MTL RED Team di Ibu Pejabat JBPM, hari ini.

Beliau berkata, seramai 253 anggota, 58 unit bot, 41 unit kenderaan utiliti dan 33 buah lori akan bersedia pada setiap hari di lokasi yang ditetapkan oleh JBPM negeri.

Katanya, pasukan itu dianggotai seorang anggota dari pasukan khas Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan seorang anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) bagi memastikan operasi penyelamatan berada pada tahap yang optimum.

“Komposisi minimum bagi MTL RED Team adalah terdiri daripada 12 anggota, dua unit bot penyelamat, satu unit kenderaan utiliti dan sebuah lori bagi tujuan lojistik dan penyelamatan serta pemindahan mangsa banjir.

“Bagi negeri yang tidak mempunyai MTL RED Team, respons akan dilakukan oleh balai terdekat, bomba sukarela dan bomba komuniti. Sekiranya tahap kritikal dari aspek logistik, ramai mangsa terkandas atau memerlukan pemindahan mangsa secara besar-besaran, MTL RED Team terdekat akan membantu,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Datuk Seri Mohammad Hamdan berkata, garis panduan MTL RED Team mengandungi pengurusan, mekanisme pengaktifan serta atur gerak sumber manusia dan logistik telah diedarkan bagi melancarkan penubuhan pasukan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, menurutnya, tugas dan peranan sebagai Komander Operasi Bencana (KOB) akan diambil alih oleh JBPM yang merupakan Timbalan KOB sekiranya berlaku bencana banjir semasa hari pembuangan undi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Pelarasan Agensi-Agensi Tindak Balas Bagi Menghadapi MTL 2022/2023 yang dipengerusikan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali pada 12 Oktober lalu.

Loading...
Terkini