Tumpuan :
Nasional

Bomba kesan empat kawah air dasar laut sepanjang Pantai Batu Burok

Foto: NSTP

KUALA TERENGGANU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri mengesan ada sehingga empat kawah air di dasar laut sepanjang Pantai Batu Burok, di sini.

Kawah air dengan kedalaman kira-kira 3.05 meter dan dipenuhi dengan sampah itu, berbahaya kepada pengunjung jika dihanyut ke kawasan berkenaan.

Pengarah JBPM negeri, Hassan As’ari Omar, berkata empat kawah air di Pantai Batu Burok itu dikesan anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) ketika melakukan selaman dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas dilokasi itu pada Ahad dan semalam.

“Kita difahamkan, kawah air yang terletak kira-kira 50 meter daripada pesisir pantai itu terbentuk disebabkan berlakunya pusaran air.

“Kerja menyelamat mangsa lemas yang dihanyutkan arus ke dalam kawah itu mungkin terganggu disebabkan keadaan gelap dan dipenuhi sampah,” katanya.

Mengulas lanjut, Hassan As’ari, berkata pengunjung tidak digalakkan untuk mandi manda di sepanjang Pantai Batu Burok.

Katanya, semua pelancong dan pengunjung daripada luar negeri ini yang menginap di hotel dan inap desa di persisir pantai diminta sentiasa berwaspada bagi mengelakkan insiden tidak diingini terutama lemas.

“Berdasarkan beberapa kes lemas di Pantai Batu Burok, kebanyakan mangsa ditemui dalam jarak antara tiga hingga 21 kilometer, dihanyutkan arus,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini