Tumpuan :
Nasional

Bomba kerja syif dapat rehat tambahan 26 hari setahun bermula Februari

Setiap anggota bomba layak mendapat satu hari rehat tambahan pada setiap 14 hari atau lapan kali pusingan waktu bertugas secara syif 12 jam. FOTO: NSTP

Oleh: Syafiqah Damanhuri

PUTRAJAYA: Semua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bertugas sistem syif 12 atau 24 jam, akan mendapat Hari Rehat Mingguan (HRM) 26 hari setahun bermula bulan depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pelaksanaan itu selaras dengan pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berdasarkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

“Kita telah susun semula sistem bertugas syif untuk cuba sebaik mungkin mematuhi arahan pekeliling.

“Isu berkaitan jumlah bekerja lebih masa, bekerja secara bukan syif normal dan juga keperluan HRM.

“Setiap anggota bomba layak mendapat satu hari rehat tambahan pada setiap 14 hari atau lapan kali pusingan waktu bertugas secara syif 12 jam,” katanya di sidang media selepas menghadiri Perbarisan Tahunan JBPM Tahun 2025, di sini.

FOTO: NSTP

Tambahnya dua sesi libat urus melibatkan pihak kesatuan dan kementerian dilakukan untuk melaksanakan sistem syif baharu berkenaan.

“Ia dapat mengurangkan masa bekerja mingguan. Sebelum ini kita bekerja mingguan anggota bekerja syif 12 jam ialah 56 jam.

“Dengan pengenalan syif baharu anggota akan bekerja 50 jam seminggu, pengurangan sebanyak enam jam,” katanya.

Menurut Nor Hisham, sebelum ini anggota bomba tidak mempunyai hari rehat mingguan.

Pendekatan itu katanya memberi ruang rehat kepada anggota melalui prinsip ‘Work More, With Less’.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini