RANTAU PANJANG: Pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan mengambil inisiatif ke kawasan sukar diakses ketika banjir bagi menasihatkan penduduk supaya berpindah awal jika trend air terus menunjukkan peningkatan.
Sejak beberapa hari lalu, Kelantan menerima taburan hujan yang agak tinggi menyebabkan paras Sungai Golok di Rantau Panjang mencatat bacaan melebihi paras amaran iaitu 8.47 meter setakat jam 8.15 pagi tadi.
Pengarah JBPM negeri, Jainal@Zainal Madasin, berkata anggota daripada balai Rantau Panjang mengambil langkah awal bertemu dengan penduduk yang kediamannya sukar untuk dimasuki jika berlaku banjir.
“Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kediaman mereka sukar diakses seperti arus deras atau jalan masuk dengan paras air yang terlalu tinggi. Jadi, bagi melancarkan misi menyelamat, penduduk terbabit diberi nasihat awal supaya berpindah awal.
“Antara kampung yang sukar diakses di kawasan Rantau Panjang adalah Kampung Putat Tujuh, Kampung Kusar dan Kampung Tasek Bakong. Semua kawasan yang sukar diakses sudah dikenal pasti anggota bertugas berdasarkan pengalaman banjir yang lalu.
“Sekarang ini, keadaan banjir masih lagi terkawal dengan hanya kawasan yang rendah dinaiki air, tetapi pihak kami mengambil tindakan awal supaya masyarakat lebih peka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok menunjukkan paras berjaga-jaga pada bacaan melebihi tujuh meter, amaran dengan bacaan lapan meter serta tahap bahaya dengan catatan 10 meter.
“Kawasan rendah di Rantau Panjang biasanya dinaiki air apabila bacaan Sungai Golok melebihi lapan meter, manakala dijangka mula memasuki pekan Rantau Panjang pada kedalaman 10.15 sehingga 10.25 meter.
“Jadi buat masa sekarang semua jalan utama termasuk ke Zon Bebas Cukai Rantau Panjang masih bebas banjir dan boleh dilalui. Operasi perniagaan juga berjalan seperti biasa.
“Pihak JBPM Kelantan sentiasa bersiap siaga dengan keadaan cuaca yang tidak menentu bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya. – BERITA HARIAN