comscore
Tumpuan :
Nasional

Bomba, JAS pasang ‘oil boom’ dan ‘absorbent’ di lokasi pembuangan bahan kimia di Kawasan Perindustrian Tebrau

Anggota bomba mengambil sampel air, tanah dan minyak di lokasi tebing sungai untuk dianalisis Jabatan Kimia. FOTO: Ihsan Bomba

JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan menerima laporan berhubung pembuangan bahan kimia di Kawasan Perindustrian Tebrau, di sini pada jam 12.18 tengahari tadi.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Muhamad Syahhir Ikhwan Mohamad, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) ditempat kejadian didapati benar terdapat pembuangan bahan kimia tidak dikenalpasti di tebing sungai.

“Keluasan lokasi bahan buangan dianggarkan lebih kurang 15.2 meter kaki persegi.

“Kerja pengambilan sampel tanah, air dan minyak dilokasi sebelum dan lokasi selepas pembuangan bahan kimia dilakukan oleh Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) bersama pihak JAS.

“Pihak JAS memasang penghadang minyak atau ‘oil boom’ dan ‘absorbent’ dilokasi tersebut,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu. Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menasihatkan agar penduduk kawasan yang terdekat dengan pencemaran bau, segera ke fasiliti kesihatan sekiranya merasa tidak selesa.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, pegawai kesihatan telah membuat lawatan di beberapa sekolah berhampiran untuk menjalankan pemeriksaan dan memberi panduan.

Katanya tindakan itu susulan penemuan beberapa bungkusan tidak dikenal pasti di tepi anak Sungai Pandan, berhampiran kawasan Taman Daya, semalam.

FOTO: Ihsan Bomba

“Namun, tiada sesiapa yang tampil ke hospital atau klinik kerajaan untuk mendapatkan rawatan akibat pencemaran bau kimia tersebut.

“Sekiranya penduduk merasa tidak selesa selepas menghidu bau tersebut, mereka disarankan untuk mendapatkan nasihat di hospital atau klinik berdekatan,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Tian Soon memaklumkan beliau bersama pegawai penguatkuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor telah melakukan pemeriksaan rutin di Kawasan Perindustrian Tebrau 1, bagi memastikan kilang-kilang mematuhi peraturan Jabatan Alam Sekitar dalam pengurusan sisa industri atau kimia.

Katanya JAS Johor komited untuk mencari punca insiden pencemaran bau kimia yang telah memberi kesan kepada beberapa kawasan perumahan di Johor Bahru.

“Selain mencari bahan pencemar yang mungkin dibuang berhampiran sungai, JAS juga menjalankan pemeriksaan ke atas kilang-kilang di kawasan sekitar untuk memastikan mereka mengikut prosedur operasi piawai (SOP) dalam pengurusan sisa.

“Pemeriksaan yang dijalankan pagi tadi tidak menemui sebarang perkara luar biasa. Oleh itu, pihak berkuasa akan meneruskan usaha pemeriksaan terhadap kilang-kilang,” katanya

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini