comscore
Tumpuan :
Nasional

Bomba jadual cuti secara bersasar hadapi MTL

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad.-FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menjadualkan pembekuan cuti secara bersasar ke atas anggotanya sebagai persiapan menghadapi musim Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata pihaknya telah memaklumkan perkara itu kepada anggotanya di kawasan tertentu yang akan terlibat.

“Saya merancang untuk menyasarkan kawasan tertentu (bagi pembekuan cuti) mengikut aliran MTL.

“Tidak adil melaksanakan pembekuan cuti di negeri yang tidak terjejas banjir tetapi jika situasi menjadi kritikal, pembekuan menyeluruh mungkin dilaksanakan bagi memberi sokongan pada pasukan di negeri terlibat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Kebakaran Antarabangsa Malaysia (IFCEM) 2024 di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia masih berada dalam fasa peralihan monsun bermula 24 Sept lepas dan dijangka berterusan hingga awal bulan depan dan banjir yang kini melanda beberapa negeri mungkin disebabkan faktor sama.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip juga dilapor berkata pihaknya menjangkakan MTL akan berlaku awal bulan depan berdasarkan faktor klimatologi.

Dalam pada itu, Nor Hisham berkata pihaknya juga telah menyemak semula kawasan tumpuan serta pangkalan hadapan sebagai persediaan menghadapi sebarang keadaan cuaca buruk yang dijangka berlaku.

“Kami telah menyemak semula kawasan tumpuan dan meneruskan pelan seperti yang ditetapkan termasuk penubuhan pasukan tindak balas pantas di 22 lokasi.

“Kami juga memberi tumpuan kepada pangkalan hadapan dengan logistik ditempatkan di Wakaf Tapai, Terengganu dan Ayer Hitam, Johor daripada terlalu fokus kepada Pulau Pinang kali ini (untuk banjir),” katanya.

Beliau berkata JBPM juga sedang berkoordinasi dengan polis dan agensi lain berdasarkan arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“NADMA telah mengeluarkan Arahan NADMA No. 1 iaitu kerangka pengurusan bencana yang lebih jelas. Ia menetapkan bahawa JBPM akan bertindak sebagai Timbalan Komander Insiden dan Komander Hadapan dalam sebarang kejadian.

“Kami juga telah mengadakan dua siri sesi latihan bersama ketua balai bomba untuk memperkukuhkan pelaksanaan Arahan NADMA No. 1 di semua balai bomba,” katanya.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini