Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA NERUS: Tindakan orang ramai mengunjungi kawasan pantai untuk menyaksikan fenomena ombak besar dan air pasang besar boleh mengundang bahaya serius.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengingatkan agar orang ramai tidak menjadikan pantai sebagai lokasi bersantai, mengambil swafoto, atau melakukan siaran langsung ketika fenomena tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Azmi Omar, berkata ombak kuat dan angin kencang di pantai negeri itu berpotensi mengancam keselamatan pengunjung, terutama di kawasan popular seperti Pantai Seberang Takir, yang dikenali juga sebagai Pantai Miami.
Susulan itu, pihak bomba telah meningkatkan rondaan dan kawalan di kawasan tumpuan orang ramai sekitar daerah Kuala Nerus. Selain itu, laluan dari Pantai Teluk Ketapang ke Jambatan Angkat turut ditutup kepada semua kenderaan sebagai langkah keselamatan.
“Mungkin mereka datang untuk buat siaran langsung di TikTok kerana ramai pengikut dari luar ingin melihat situasi ombak besar. Saya perhatikan lebih 10 orang melakukan siaran langsung di aplikasi tersebut,” katanya.
“Namun, selepas kita memberi nasihat, mereka mula beredar,” tambahnya.
Azmi turut memaklumkan bahawa selain Pantai Seberang Takir, Pantai Batu Rakit juga menjadi lokasi tumpuan untuk menyaksikan fenomena air pasang besar. Ombak setinggi tiga meter bersama angin kencang telah menyebabkan limpahan air laut sehingga ke jalan raya di beberapa kawasan, selain hakisan pantai yang teruk.
Orang ramai diingatkan untuk mengutamakan keselamatan dan menjauhi kawasan berisiko demi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.