Tumpuan :
Nasional

Bomba guna kaedah ‘water bombing’ padam kebakaran Gunung Baling

Oleh Kumaran Rajamoney

BALING: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri Kedah akan menggunakan kaedah pemadaman menggunakan kaedah ‘water bombing’ bagi memadam kebakaran di Gunung Baling di sini.

Ketua Balai Bomba Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Jamil Mat Daud memaklumkan, langkah itu diambil susulan dari struktur lokasi kebakaran yang merbahaya bagi kerja pendakian oleh anggota.

“Unit Udara Bomba telah sampai di Baling. Kaedah pemadaman menggunakan Agusta AW 139 akan dilakukan di kawasan tompokan yang dipercayai masih ada kesan kebakaran.”

“Kita sedang melakukan pemantauan rapi bagi memastikan kebakaran tidak marak dan merebak ke kawasan lain. Setakat ini, kebakaran itu masih terkawal,” katanya.

Tambahnya lagi, kebakaran berlaku melibatkan bahagian gunung yang curam pada kedudukan sekitar 90 darjah dan bukan kdi laluan trek untuk naik ke gunung.

“Kebakaran dipercayai berpunca dari aktiviti pembakaran lewat petang semalam secara terbuka di kaki gunung yang mengakibatkan api merebak sehingga ke bahagian puncak.

“Penduduk sekitar Gunung Baling dan pendaki dinasihatkan mengambil langkah keselamatan bagi mengelakkan kejadian kebakaran berulang di lokasi sama,” katanya.

Loading...
Terkini