Tumpuan :
Nasional

Bomba guna dua anjing K9 kesan kanak-kanak 19 bulan hilang

Operasi mencari dan menyelamat kanak-kanak lelaki, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi, 19 bulan, yang dikhuatiri hilang jam 7.20 malam tadi oleh pasukan bomba. NSTP/IHSAN BOMBA

TANAH MERAH: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak lelaki berusia 19 bulan yang dikhuatiri hilang di Kampung Aira Kuala Tiga, di sini, membabitkan dua anjing pengesan dari Unit K9.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah, Mohd Zulkifli Osman berkata, dua anjing pengesan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu dijangka tiba ke lokasi jam 3 petang ini.

“Dua anjing itu sudah biasa digunakan untuk mengesan orang hilang dan diharapkan khidmat K9 itu nanti dapat memberi petunjuk.

“Setakat ini pencarian membabitkan radius dua kilometer (km) dari rumah keluarga mangsa namun tiada sebarang petunjuk diperoleh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zulkifli berkata, misi pencarian setakat ini membabitkan kawasan sekitar kediaman termasuk hutan, namun lebih terarah ke parit di hadapan rumah nenek mangsa.

Beliau berkata, ia adalah berikutan ibu kanak-kanak terbabit sering membawanya ke parit berkenaan untuk bermain air namun tidak menolak kemungkinan mangsa memasuki kawasan hutan sekitar.

“Seramai 20 pegawai dan anggota BBP Tanah Merah terbabit dalam operasi ini dengan dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).

“Cuaca di lokasi yang sesekali hujan agak memberi cabaran untuk misi pencarian namun operasi tetap berjalan dengan baik,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki, Hud Aryan Mohd Nor Hafifi hilang apabila disedari tiada dalam rumah kira-kira jam 7.20 malam tadi oleh ahli keluarga.

Menurut ibu saudaranya, Azean Irdawati Ramley, 44, sebelum kejadian, Hud berada dalam rumah dan diberi makan oleh ibunya sebelum wanita itu masuk ke dapur sebaik selesai menyuap nasi kepada anak tunggalnya itu.

Kebetulan juga seorang saudara datang ke rumah dan ketika berbual, dia bertanyakan di mana Hud, selepas itu barulah ahli keluarga menyedari kanak-kanak itu hilang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini