Tumpuan :
Nasional

Bomba guna dron pantau paras air sungai di Pantai Timur

Pengarah Bahagian Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Datuk Norazam Khamis semasa membuat pemantauan dari udara keadaan banjir di Terengganu. Foto NSTP

MARANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menggunakan dron bagi memantau dan menilai paras air sungai terutama di kawasan berisiko banjir di negeri di Pantai Timur.

Pengarah Bahagian Udara JBPM Datuk Norazam Khamis berkata, dron itu akan diterbangkan di kawasan-kawasan berisiko dan pedalaman yang terputus hubungan sekiranya berlaku banjir besar.

Beliau berkata, penggunaan dron ke kawasan yang berlaku kenaikan air atau hujan berterusan membolehkan pihaknya membuat penilaian keadaan semasa bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya, di Terengganu, sebanyak empat dron iaitu dua unit dron JBPM Terengganu dan dua unit daripada Bahagian Udara akan digunakan untuk memantau keadaan banjir di kawasan hulu dan pedalaman seperti Hulu Besut dan Hulu Dungun sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL) ini.

“Kita akan menggerakkan unit dron untuk membantu negeri membuat pemantauan melalui darat jika hujan berterusan dan pemantauan itu lebih sesuai menggunakan dron.

“Pada asasnya, kita akan menggerakkan unit dron daripada Bahagian Udara (ibu pejabat) dan dron yang ada di peringkat negeri untuk sama-sama buat pemantauan banjir terutama di kawasan-kawasan pedalaman atau yang berhampiran dengan sungai dan kawasan yang rendah serta mudah dinaiki air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pangkalan Operasi Hadapan (FOB) diAkademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Wakaf Tapai di sini hari ini.

Terdahulu, Norazam turut melakukan tinjauan udara menggunakan helikopter AW189bagi memantau kawasan banjir di Terengganu.

Dalam pada itu, Norazam berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan menempatkan sebuah lagi helikopter di FOB di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur di Wakaf Tapai bagi melancarkan operasi JBPM di Pantai Timur.

Katanya, helikopter AW189 sudah digerakkan ke FOB ini bermula kelmarin bagi melancarkan kerja menyelamat sepanjang musim MTL untuk kegunaan tiga negeri Pantai Timur yang berisiko banjir.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini