Oleh Amirulhakim Lokman
KAJANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meneruskan operasi memadam sisa kebakaran yang memusnahkan sepuluh buah kilang di Pusat Perindustrian Budiman, di sini pada Jumaat lalu.
Menurut Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat BBP Tun Hussein Onn, Hishamuddin Mustafa kepulan asap masih lagi dikesan dipercayai berpunca pada bahagian lantai premis yang tertimbus mengandungi bahan mudah terbakar.
“Ada kawasan yang api telah padam namun masih ada sisa-sisa bara di bahagian lantai yang berisiko kembali terbakar jadi kita teruskan operasi pagi ini, sehinggalah kita yakin tiada lagi punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berlaku kembali. Kilang-kilang yang terjejas padat dengan bahan mudah terbakar,” katanya.
Jelasnya, operasi hari ini disertai 6 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tun Hussein Onn.
Sebanyak lapan daripada 10 kilang musnah dalam kejadian kebakaran yang dilaporkan berlaku pada jam 2.15 pagi Jumaat lalu. Kilang terlibat antaranya kilang makanan kucing, perabot kabinet, simpanan barang majlis, plastik papan iklan, model rumah, tembakau dan perabot tilam.
Manakala, dua lagi kilang audio kereta terbakar hampir 20 peratus.
Anggaran keluasan kawasan yang terjejas kebakaran sekitar 360×300 kaki persegi.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.