Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Bomba gerakkan Pasukan MUST bantu padam api di puncak Bukit Semanggol

Oleh: Shaharil Kadir

BAGAN SERAI: Kepakaran pasukan elit Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) iaitu pasukan Multi Skill Team (MUST) digunakan dalam operasi memadam kebakaran di puncak Bukit Semanggol di sini, malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, lapan anggota pasukan berkenaan digerakkan ke puncak bukit yang dianggarkan berketinggian 400 ke 500 meter bagi operasi pemadaman.

“Sehingga tengah malam tadi, masih terdapat beberapa tompokan kecil api di atas bukit, namun, kebakaran berjaya dikawal dari merebak” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Kebakaran di kawasan seluas lebih dua hektar di Jalan Kubu Gajah itu bermula petang semalam dan laporan mengenainya diterima bomba pada jam 4.37 petang.

Kebakaran pada mulanya hanya melibatkan kawasan seluas kira-kira 100 meter persegi.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai dibantu BBP Kamunting, Pasukan Bomba Sukarela Bagan Serai, Alor Pongsu dan Lembah Beriah.

Secara keseluruhan seramai 39 anggota bomba, termasuk daripada Pasukan Must dan anggota bomba sukarela terlibat dalam operasi pemadaman.

Operasi yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Ahmad Noor Syamsi Zainoldin itu menggunakan teknik “fire break” untuk mencegah api daripada terus merebak.

Keadaan kawasan yang berbukit dan jarak penglihatan terhad antara cabaran yang terpaksa dihadapi anggota bomba dalam operasi berkenaan.

Loading...
Terkini