SIK: Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik mengambil masa kira-kira tiga jam untuk memadam kebakaran di Hutan Simpan Chebar Besar, di sini hari ini.
Ketua BBP Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 9 pagi tadi.
Katanya, beliau bersama sepasukan anggotanya seramai 12 orang terpaksa mendaki bukit pada ketinggian kira-kira 500 meter untuk memadam kebakaran itu.
“Kawasan yang dilaporkan terbakar adalah seluas 10 hektar namun kami berjaya mengawal kebakaran dari merebak ke kawasan lain.
“Hutan simpan ini mempunyai keluasan 266.50 hektar dan operasi memadam kebakaran ini tamat pada jam 1 petang namun akan dipantau dari masa ke semasa.
“Operasi ini turut disertai Renjer Hutan Padang Terap yang diketuai Pegawai Renjer Mohd Syakir Othman bersama empat anggota,” katanya.
Zulkhairi berkata, cuaca panas dan angin kencang ketika ini boleh mengakibatkan kemerebakan api lebih besar namun dengan tindakan cepat yang dilakukan pasukannya berjaya memadam kebakaran.
Beliau berkata, operasi pemadaman ini dilakukan menggunakan pemerap api dan peralatan khas ‘jet shooter’.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.