Tumpuan :
Nasional

Bom perang dunia kedua dimusnahkan di Pulau Sibuan

Ihsan Facebook Taman-Taman Sabah

SEMPORNA: Sebuah bom lama, dipercayai peninggalan Perang Dunia Kedua, berjaya dimusnahkan di perairan Pulau Sibuan oleh pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada jam 3.10 petang semalam.

Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) dalam kenyataan memaklumkan, bom jenis unexploded ordnance (UXO) itu ditemui pada 7 Januari lalu.

Katanya operasi menggunakan kaedah ‘Blow in Place’ (BIP) memastikan bom dimusnahkan di lokasi penemuan dengan langkah keselamatan tertinggi.

Tiada kerosakan pada harta benda atau ekosistem marin dilaporkan sepanjang operasi tersebut.

Bom udara itu dianggarkan sepanjang tiga kaki, selebar satu kaki, dan seberat 250 kilogram. Ia dipercayai digunakan sekitar tahun 1945 semasa Perang Dunia Kedua.

Operasi turut mendapat kerjasama daripada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2), dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini