comscore
Tumpuan :
Nasional

Bom ikan Sungai Kampar, polis minta kerjasama awam jika ada maklumat

Foto viral yang didakwa sekumpulan individu sedang mengutip hasil bom ikan dalam kejadian di Sungai Kampar.

KAMPAR: Pihak berkuasa meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perbuatan mengebom ikan di Sungai Kampar di sini, tampil membuat laporan bersama bukti bagi membolehkan siasatan dibuat.

Setakat ini, Jabatan Perikanan Negeri Perak belum menerima sebarang laporan berhubung kegiatan bom ikan seperti didakwa dalam video yang ditular menerusi media sosial.

Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali A Manap, berkata ketika ini pihaknya masih sangsi terhadap dakwaan berlakunya kegiatan bom ikan di situ, berikutan video disebarkan tidak secara jelas memaparkan kesan ikan yang dibom.

“Kalau bom, biasanya mata ikan akan terjojol (tersembul) keluar. Kalau kata banyak yang terapung, bukti ikan mati kerana rakaman pada video yang ditular itu sekadar memaparkan gambar ikan kena pancing.

“Berdasarkan video pendek itu kita tak boleh nak buat rumusan (dibom). Ikan (yang dipapar) dalam video pun nampak cantik dan tiada kesan luaran seperti kena bom,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Ghazali berkata, pihaknya berharap mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut atau rakaman berdurasi panjang berhubung kegiatan itu tampil membantu supaya pihaknya dapat mengambil tindakan susulan.

“Kalau ada ‘footage’ yang panjang lagi, (maka) boleh panjangkan untuk kami buat analisis,” katanya.

Beliau mengulas satu video berdurasi 34 saat yang dimuat naik pengguna Facebook (FB) semalam, yang mendakwa aktiviti bom ikan itu menyebabkan banyak ikan antaranya jenis lampam dan baung mati dan dihanyutkan arus sungai.

Berdasarkan keterangan pada hantaran video terbabit, kejadian yang dikatakan kira-kira jam 10 pagi itu dilakukan oleh sekumpulan remaja.

Perbuatan mengebom ikan itu membolehkan mereka mengutip ikan yang terapung di kawasan air cetek di Sungai Kampar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud, berkata pihaknya sehingga kini belum menerima laporan berkaitan kejadian bom ikan itu.

Katanya, perbuatan mengebom ikan adalah melanggar Akta Perikanan 1985 Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai), Perak 1992 yang jika sabit kesalahan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini