PUTRAJAYA: Bolehkah seorang pemandu kereta yang sempurna mengelak daripada melanggar kucing atau kura-kura di jalan gelap berbukit dan berselekoh?.
Persoalan itu diutarakan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hadhariah Syed Ismail sebelum panel tiga hakim diketuainya melepas dan membebaskan kerani, Sam Ke Ting, 28, atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja yang menunggang basikal lajak pada 2017.
Beliau berkata, Ke Ting memaklumkan tidak mengetahui ada aktiviti basikal lajak itu.
“Memang bawa (memandu) kereta tengok depan tetapi jalan itu berbukit, laluan kereta mendaki bukit, jalan berselekoh dan gelap sebab lampu jalan ditutupi pokok. Ada 30, 40 basikal depan (kereta Ke Ting) bukan? Boleh tunjuk mana undang-undang mengatakan kalau dia (Ke Ting) tidak tahu, tak nampak (basikal lajak) sebab jalan berselekoh, terlindung adalah salah.
“Kelajuan 100 kilometer sejam (km/j) tak salah kerana jam 3.20 pagi (masa kejadian) waktu orang tidur dan kenderaan tak banyak atas jalan. Dia tak nampak sebab jalan terlindung dan kemalangan berlaku dalam sekelip mata, tiada masa untuk berfikir,” katanya.
Hadhariah yang bersidang bersama Hakim Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah, membuat keputusan sebulat suara, sekali gus mengetepikan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru terhadap Ke Ting.
Keputusan Mahkamah Tinggi 13 April tahun lalu itu sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret 10 Oktober tahun sama, yang mengekalkan keputusan untuk melepas dan membebaskan Ke Ting daripada pertuduhan berkenaan.
Berdasarkan pertuduhan, Ke Ting didakwa melakukan kesalahan di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada jam 3.20 pagi 18 Februari 2017.
Remaja yang maut ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14; dan Haizad Kasrin,16.
Hadhariah berkata, pendakwaan memaklumkan kereta itu dipandu laju tanpa mengambil kira apa yang berada di hadapan sebelum melanggar remaja terbabit.
Katanya, Ke Ting dikatakan bersalah 100 peratus kerana menyebabkan kematian remaja akibat pemanduan merbahaya.
“Itu kes pendakwaan sebab itu kita nak tengok dan pertimbangkan yang mana yang betul dari segi undang undang.
“Pendakwaan memihak kepada (penunggang) basikal lajak yang semuanya baik.
“Pemandu kereta 100 peratus salah sebab langgar mati lapan orang sedangkan keterangan dalam nota bicara yang saya baca, hanya dua basikal dilanggar kereta.
“Kereta tidak langgar lapan basikal. Boleh buat pemeriksaan, saya periksa nota keterangan. Saya tidak bergantung kepada hujahan semata-mata,” katanya.