Oleh Nurul Amalina Zainudin
KUALA LUMPUR: Semua pihak digesa untuk berhati-hati dalam menyuarakan pandangan agar tidak menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R).
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata tindakan tegas boleh diambil sekiranya terdapat komen-komen dan pandangan yang melampaui batas.
“Kita perlu serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat, jangan kita yang tidak mempunyai maklumat lengkap cuba menimbulkan spekulasi, ini tidak akan membantu siasatan.
“Saya pohon kerjasama untuk tidak menyentuh isu 3R dan kita perlu berhati hati, kita boleh menyampaikan pandangan tapi sekiranya kita melampaui batas, maka tindakan lain yang perlu diambil oleh pihak berkuasa.
“Kadangkala kita memberi komen tanpa maklumat penuh dan ini yang akan menyukarkan keadaan dan kemungkinan menyukarkan diri kita,” katanya.
Fahmi juga memberi jaminan tiada individu yang akan dilindungi sekiranya benar didapati melakukan kesalahan.
Beliau mengulas isu seorang pegawai polis pengiring yang didakwa memukul seorang pemandu e-hailing kurang upaya, di depan sebuah hotel di ibu negara, Selasa lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.