Tumpuan :
Nasional

“Boleh ke mahkamah jika ragui kedaulatan Pulau Pinang” – Kon Yeow

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (kanan) bersalaman dengan Amir Md Ghazali (tengah) yang baru di lantik sebagai Ahli Dewan Negara yang baharu, di Dewan Undangan Negeri, Lebuh Light, Georgetown di sini, hari ini. Turut bersama Yang di-Pertua (YDP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang. – FOTO: NSTP

GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang memandang serius ucapan dikeluarkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang menyatakan keraguan terhadap kedaulatan negeri itu.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata ucapan seumpama itu boleh mendedahkan pemimpin itu kepada kesalahan di bawah Akta Hasutan kerana menimbulkan rasa ‘kurang senang’ dalam kalangan penduduk kedua-dua negeri.

“Kerajaan Kedah perlu membawa persoalan berkaitan daripada aspek perundangan ke mahkamah kerana ia bukan semata-mata melibatkan Pulau Pinang tetapi secara tidak langsung mempersoalkan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai ‘penjaga’ negeri-negeri yang tidak beraja.

“Menteri Besar Kedah dipelawa memperkukuhkan kenyataan beliau di mahkamah, bagi memberi peluang kepada kedua-dua kerajaan negeri menghuraikan kedudukan undang-undang lebih jelas berhubung perkara berkaitan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.

Kon Yeow (PH-Padang Kota) berkata, kedudukan Pulau Pinang sebagai negeri berdaulat diperkukuhkan dengan berkuatkuasanya Perlembagaan Persekutuan pada 1957.

Katanya, perkara itu diperlihatkan melalui penggubalan undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan secara khusus dalam Fasal 2, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan, berhubung status perundangan negeri-negeri yang bernaung di bawah Kerajaan Persekutuan.

“Perkara 71 yang dibaca bersama Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan menggambarkan pengiktirafan undang-undang yang diberikan kepada Pulau Pinang sebagai negeri yang mempunyai kedaulatan selepas digugurkan statusnya sebagai Negeri Selat.

“Sebagai tambahan, Perkara 88 Perlembagaan Persekutuan juga secara tidak langsung memberi pengiktirafan kepada negeri yang tidak beraja seperti Pulau Pinang, menguatkuasakan hak dan kedaulatannya seperti negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahas usul tanpa pemberitahuan oleh Lim Guan Eng (PH-Air Putih) yang mencadangkan supaya ketetapan diambil terhadap ucapan berbaur provokasi oleh Menteri Besar Kedah itu yang tersebar melalui platform TikTok.

“Kami kesal dengan ucapan berbaur provokasi Menteri Besar Kedah terhadap kedaulatan Pulau Pinang dan secara tidak langsung terhadap kuasa mutlak Yang di Pertuan Agong dalam melantik Yang di-Pertuan Negeri Pulau Pinang,” katanya.

Guan Eng berkata, Sanusi mempunyai hak menuntut pampasan yang lebih tinggi untuk bayaran royalti tanah daripada Kerajaan Persekutuan tetapi tidak sepatutnya mencetuskan provokasi terhadap mana-mana pihak dengan mempersoalkan kedaulatan Pulau Pinang.

DUN Pulau Pinang kemudiannya sebulat suara bersetuju menuntut Muhammad Sanusi menarik semula kenyataan itu menerusi pungutan suara majoriti.

Usul itu diterima selepas dibahaskan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) antaranya Mohd Yusni Mat Piah (PAS-Penaga); Muhammad Faiz Fadzil (PH-Permatang Pasir); M Satees (PH-Bagan Dalam) dan Ketua Pembangkang, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN-Sungai Dua).

Loading...
Terkini