Oleh: Kumaran Rajamoney
IPOH: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggariskan lima langkah strategik yang perlu dijadikan teras bagi parti itu mempersiapkan diri menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Ia termasuk keperluan BN dalam menampilkan calon-calon muda dan wanita dalam PRU.
Beliau menegaskan bahawa pemilihan calon bukan hanya berdasarkan umur tetapi juga kemampuan mereka yang berpengaruh di peringkat akar umbi.
“Di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri dan Mahkota, kita telah membuktikan hipotesis ini betul. Kita mesti mengetengahkan calon-calon baharu, terutamanya anak muda yang mampu membawa perubahan. Kawasan yang sebelum ini bukan milik kita boleh dimenangi jika kita melakukan ‘game changer’.
“Kita bukan mahu menafikan peranan orang lama, tetapi elok sekiranya kita mempunyai kombinasi yang baik antara yang lama dan yang baru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen BN negeri Perak, di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon, Pengerusi MIC Perak, Tan Sri M. Ramasamy serta pimpinan BN negeri Perak.
Selain itu, katanya, langkah strategik lain adalah dengan mengukuhkan hubungan dengan rakan komponen Kerajaan Perpaduan, pengukuhan keterampilan dalam media sosial serta memperkukuh jentera parti.
Jelasnya, perbincangan mengenai pengagihan kerusi antara parti komponen BN dan Pakatan Harapan (PH) akan dilakukan atas semangat memperkukuh kerajaan perpaduan melibatkan pendekatan langsung dengan rakyat, memastikan kestabilan politik, serta menangani permasalahan dengan lebih efektif.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.