comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Biografi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar

SULTAN JOHOR, Sultan Ibrahim diputerakan pada 22 November 1958, di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan Baginda merupakan putera sulung kepada Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail dan Almarhumah Enche’ Besar Hajah Khalsom Binti Abdullah.

Baginda mula mendapat pendidikan asas di Taman Didikan Kanak-Kanak Tunku Ampuan Mariam, Johor Bahru sebelum memulakan pendidikan di Sekolah Temenggong Abdul Rahman (1) Johor Bahru.

Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di Trinity Grammar School, Sydney, Australia pada tahun 1968 hingga 1970, sebelum meneruskan pelajaran menengah di English College (Maktab Sultan Abu Bakar) dari tahun 1971 hingga 1975.

Baginda turut mendapat pendidikan agama di Sekolah Agama Ayer Molek, Johor Bahru.

Kepemimpinan Baginda terserlah selepas melibatkan diri di dalam aktiviti ketenteraan yang turut dijadikan asas bagi membina semangat juang, disiplin serta perwatakan yang berwibawa.

Baginda mula menjalani latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat (PULADA) di Kota Tinggi dan dilantik sebagai platun komander sebelum mengikuti latihan ketenteraan pegawai muda di Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat.

Baginda juga menjalani latihan airborne dan ranger untuk pegawai infantri.

Semangat ketenteraan yang tinggi mendorong Baginda meneruskan latihan American Special Forces dan Pathfinder di mana Baginda membuat 19 terjunan payung terjun, lapan daripadanya pada waktu malam.

Baginda kemudian dipilih dan ditauliahkan sayap seterusnya mendapat pengiktirafan sebagai seorang komando.

Lebih membanggakan, Baginda turut ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL (tentera darat, laut dan udara).

Baginda juga melakukan beberapa penerjunan di Bandung, Indonesia sebelum ditauliahkan sebagai ahli kehormat Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS), Indonesia.

Sultan Ibrahim turut menjalani latihan juruterbang helikopter bersama Tentera Udara Diraja Malaysia dan dikurniakan serta menerima sayap pada 26 April 1982 daripada Almarhum Sultan Iskandar.

Baginda turut menjalani latihan tentera laut di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia di Lumut, Perak sekali gus melengkapkan Baginda sebagai pegawai tentera darat, laut dan udara yang berkemahiran.

Bagi mengimbangi latihan ketenteraan dan menjadi seorang Raja yang berwibawa dan dihormati, Baginda meneruskan pelajaran di Fletcher School of Law and Diplomacy di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat di mana Baginda melengkapi dua kursus -‘Southeast Asian Strategic Studies’ dan ‘International Law of the Seas’.

Sultan Ibrahim juga pernah berkhidmat dengan Kerajaan Negeri Johor dan ditempatkan di pelbagai jabatan bagi mempelajari aspek-aspek pengurusan serta pentadbiran negeri.

Baginda dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981.

Pada 22 September 1982, Baginda mendirikan rumah tangga bersama Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah dan dikurniakan lima orang putera dan seorang puteri.

Pada 25 April 1984 hingga 25 April 1989, Baginda dilantik sebagai Pemangku Raja semasa Almarhum Sultan Iskandar diangkat sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 selepas kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015.

Sumber: Royal Press Office

Loading...
Terkini