Tumpuan :
Nasional

Bintulu terkawal, selamat untuk didiami – Polis

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata

KUCHING: Polis memberi jaminan Bintulu dalam keadaan terkawal dan selamat untuk didiami sekali gus menafikan situasi di bandar gas asli itu tidak seperti yang digembar-gemburkan di media sosial.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa komited memastikan keadaan keselamatan dan ketenteraman di Sarawak terus terpelihara.

“Polis mengesahkan bahawa keadaan di Bintulu terkawal, tidak seperti mana yang dipaparkan dalam media sosial.

“Saya menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi yang tidak tepat yang mampu menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mancha berkata, polis tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

“Justeru, saya menyeru orang ramai supaya melaporkan kepada polis jika mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah atau kumpulan samseng dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di talian 082-240800,” katanya.

Kelmarin, Ahli Parlimen Bintulu yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing memberi amaran keras kepada kumpulan samseng yang didakwa semakin melampau di Bintulu.

Beliau bimbang jika tindakan tegas tidak diambil sekarang, kumpulan itu mungkin merasakan bahawa mereka boleh mengawal undang-undang dan mengancam keselamatan awam.

Justeru, beliau menggesa kumpulan samseng yang didakwa sering membuat kacau di Bintulu supaya beredar dari bandar itu.

King Sing berang selepas menerima video daripada individu yang bimbang Bintulu tidak lagi selamat selepas berlaku serangan ganas oleh ahli kumpulan samseng menggunakan gunting.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini