PETALING JAYA: Peminat drama Korea bakal menerima kejutan minggu ini apabila pelakon ‘Cheongdam International High
School’ hadir menerusi jelajah promosi drama terbaharu ini di Malaysia.
Pelakon utamanya Lee Eun-saem dan Kim Ye-rim akan membuat penampilan istimewa untuk bertemu peminat di Sunway Pyramid pada Ahad, 25 Jun jam 2 petang.
Dalam sesi berkenaan, Eun-saem dan Ye-rim akan berkongsi mengenai drama lakonan mereka selain menyertai beberapa aktiviti bersama peminat bertuah.
‘Cheongdam International High School Star Tour’ dibawakan oleh CJ ENM Hong Kong dan tvN Asia dengan kerjasama rakan platform tempatan, Tonton.
Ketua Pegawai Operasi Tonton dan Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Media Prima Berhad, Amir Rasyidi Johari berkata kerjasama antara CJ ENM Hong Kong dan tvN Asia menerusi drama ini bermakna bagi Tonton yang sentiasa berusaha menyediakan kandungan terbaik dan pengalaman unik kepada pengguna Tonton.
“Kami juga berharap kolaborasi ini dapat menjadi pemangkin untuk membawa lebih banyak program Korea yang berkualiti dan pelbagai acara menarik untuk memuaskan hati penonton setia kami” katanya.
Drama bersiri ini mengisahkan tentang Kim Hye-in (Lee Eun-saem) iaitu satu-satunya saksi kepada pembunuhan seorang gadis sekolah menengah.
Untuk menutup mulutnya, dia dipindahkan ke Cheongdam International High School dan bertemu Baek Jen-na (Kim Ye-rim, juga dikenali sebagai Yeri daripada kumpulan Red Velvet) yang menjadi suspek utama kes dan juga individu berpengaruh di sekolah berkenaan.
Saksikan drama bersiri ‘Cheongdam International High School’ di Tonton sekarang. Muat turun aplikasi Tonton atau layari tonton.com.my.