comscore
Tumpuan :
Nasional

Bincang isu berbangkit secara harmoni dalam Biro Pengurusan Isu Agama dan Mediasi

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Biro Pengurusan Isu Agama dan Mediasi yang ditubuhkan dalam Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) perlu diaktifkan bagi mengelakkan sebarang polemik tentang sesuatu isu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, semua isu yang berbangkit sewajarnya dibincangkan secara harmoni dalam jawatankuasa berkenaan. ​

Menurutnya, saranan itu disuarakan ketika sesi perjumpaan bersama Majlis Perundingan Malaysia Bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh Dan Taoisme (MCCBCHST) yang dipengerusikan beliau dan turut disertai Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang di Kompleks Islam Putrajaya, di sini hari ini.

“Pada perjumpaan tersebut, perwakilan MCCBCHST telah diberi taklimat latar belakang sejarah, fungsi dan peranan Perkhidmatan Pegawai Kader Hal Ehwal Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di agensi kerajaan bermula sejak 1980-an.

“Penempatan pegawai JAKIM adalah berdasarkan perjawatan yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui permohonan daripada kementerian, jabatan atau agensi kerajaan untuk melaksanakan fungsi hal ehwal Islam.

“Fungsi Kader Hal Ehwal Islam JAKIM boleh dirumuskan meliputi aspek Tadbir Urus, Pembangunan Insan, Pemulihan, Keselamatan dan Pencegahan berasaskan keperluan di setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, seramai 10 orang perwakilan dari pihak MCCBCHST telah menghadiri perjumpaan selama satu jam setengah itu yang bermula dari jam 4 petang, termasuk pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Kementerian Perpaduan Negara.

Mengulas lanjut, menurut Mohd Na’im, sesi perjumpaan itu diadakan bertujuan melaksanakan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta pihak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Menteri Perpaduan Negara mengadakan perjumpaan dengan pihak MCCBCHST bagi memberikan pencerahan mengenai isu yang dibangkitkan berkaitan penempatan pegawai JAKIM di kementerian.

“Para perwakilan yang menghadiri perjumpaan juga telah menerima dengan baik penjelasan tentang peranan Kader Hal Ehwal Islam JAKIM yang amat berkesan dan penting terutamanya dalam memantapkan kefahaman dan meningkatkan motivasi kerja berasaskan penghayatan terhadap nilai-nilai murni dalam perkhidmatan demi mencapai produktiviti organisasi ke arah merealisasikan tadbir urus terbaik,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyeru rakyat di negara ini yang berbilang agama dan kaum agar saling menghargai realiti kepelbagaian dalam negara.

Mereka juga diajak untuk bersama-sama berusaha memelihara keharmonian demi merealisasikan cita-cita membangun Malaysia MADANI yang maju, progresif dan sejahtera.

Sebelum ini, MCCBCHST menyuarakan bantahan mereka susulan laporan bahawa pegawai agama Islam akan ditempatkan di semua jabatan kerajaan bagi memastikan keputusan yang dibuat selari dengan prinsip Islam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini