comscore
Tumpuan :
Nasional

Bina penempatan haram lengkap dengan surau dan kebun sayur

Foto ihsan Jabatan Imigresen Malaysia

PUCHONG: Tanah seluas lebih 1 hektar di Pulau Meranti di sini dijadikan sebagai penempatan haram oleh sekumpulan warga asing yang lengkap dengan surau dan pelbagai kemudahan lain.

Kawasan rentis itu juga diceroboh dengan menanam pelbagai sayuran kontan untuk dijual kepada pemborong.

Difahamkan, mereka menjadikan kawasan grid pencawang tenaga elektrik itu sebagai kebun sayur sejak 33 tahun lalu dengan menyewa tanah dari penduduk tempatan dengan sewaan RM600 sebulan.

Bagaimanapun kegiatan mereka akhirnya berjaya di hidu apabila Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu penempatan haram berkenaan.

Serbuan pada jam 1.30 pagi itu menahan 22 warga asing Indonesia dan Bangladesh yang tinggal di kawasan berkenaan.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, serbuan dilakukan hasil dari pemantauan selama sebulan dilakukan pihaknya.

“Pemeriksaan mendapati penempatan ini terdapat pelbagai kemudahan termasuk surau, sistem saluran air yang lengkap untuk mengusahakan kebun, set generator untuk membekalkan sumber elektrik dan pusat pengumpulan sayur-sayuran yang dilengkapi alat penimbang.

“Ketika serbuan dilakukan ada diantara mereka melarikan diri di kawasan semak berhampiran dan sanggup menyorok selama setengah jam.

“Daripada 22 tangkapan dilakukan 17 daripadanya adalah warga Indonesia dan lima warga Bangladesh,”katanya pada sidang media selepas operas terbabit.

Ruslin berkata, penempatan haram itu terletak kira-kira satu kilometer dari jalan utama.

“JIM akan membuat semakan dan rujukan kepada pihak berkaitan seperti Pejabat Tanah dan Galian Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkenaan bagi mengenal pasti dan menentukan kesahihan pemilik sebenar tanah dan premis yang terbabit.

“Tindakan ke atas mana-mana pihak yang disyaki dan secara munasabah dipercayai melanggar perundangan Imigresen dengan memberi kebenaran kepada mana-mana imigran haram (Pati) untuk masuk dan tinggal di tanah milikannya boleh dikenakan ke atas mereka selaras dengan peruntukan Seksven 55E Akta /migresen 1959/63 (Akta 155),”katanya.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963; dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Semua tangkapan akan dibawa ke pejabat JIM Selangor bagi proses dokumentasi. Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63,”katanya.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata, sebanyak 3,617 operasi dilakukan di seluruh negara sehingga 6 Jun lalu.

“Daripada jumlah itu 24,240 ditahan, 145 majikan turut ditangkap dan 19,059 sudah diusir,” katanya.

Loading...
Terkini