Oleh Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Penampang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyatakan berbesar hati menjadi sebahagian daripada kabinet Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim.
Ewon yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Persekutuan berkata mandat itu amat penting untuk pembangunan usahawan yang dinanti-nantikannya.
“Sebagai salah seorang daripada dua wakil dari Sabah, saya juga tidak sabar untuk membangkitkan isu-isu penting dan wajar untuk rakyat Sabah dan akan bekerjasama dengan rakan-rakan anggota kabinet dalam penyelesaian kepada isu-isu tersebut terutama mengenai hak Sabah.
“Saya juga akan memberi perhatian serius kepada kawasan yang saya wakili – kawasan parlimen Penampang dan DUN Kadamaian – yang memerlukan perhatian yang tinggi untuk pembangunan di bawah kerajaan baharu,”
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada ahli kabinet dan berharap dapat membina negara kita bersama-sama,” katanya dalam satu kenyataan selepas pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diumumkan malam semalam.
Ewon telah menjadi ADUN Kadamaian sejak 2018 dan merupakan Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri sehingga 2020.
Dua wakil dari Sabah masing-masing dari Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membarisi Kabinet Kerajaan Perpaduan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Mereka ialah Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick dan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.
Ewon yang juga bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, manakala Armizan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).
Kedua-duanya muka baharu yang berjaya memenangi kerusi ditandingi masing-masing dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November lalu.