
PASIR GUDANG: Penduduk Taman Tanjung Puteri Resort, di sini, bimbang pencemaran di Sungai Kim Kim berulang.
Bagaimanapun mereka mendakwa bau kuat dipercayai pencemaran bahan kimia yang berlarutan sejak tiga hari lalu mulai hilang petang semalam.
Tinjauan dilakukan di anak sungai Jalan Seluang, di taman berkenaan mendapati tompokan hitam kecil yang mulai pudar terdapat pada permukaan tanah di situ.
Bau yang didakwa bahan kimia itu juga masih dapat dihidu namun ia tidak sekuat ketika kejadian berkenaan berlaku, Isnin lalu.
Bagaimanapun, penduduk mula dihantui kerisauan jika insiden pencemaran itu berulang, sekali gus mengingatkan mereka kembali terhadap tragedi buangan sisa kimia di Sungai Kim Kim.
Penduduk Taman Tanjung Puteri Resort, Adam Mohd Shah, 65, berkata insiden pencemaran bau itu mengingatkannya kembali kepada tragedi Sungai Kim Kim.
“Dulu sebelum tragedi Sungai Kim Kim berlaku, begini juga. Insiden pencemaran bau berlaku kerap tapi tidak berlarutan lama.
“Namun bau pencemaran kali ini tidak sekuat pencemaran Sungai Kim Kim yang sangat menyesakkan pernafasan.
“Bagaimanapun kami risau jika kejadian sebegini tidak dibendung segera ia akan mengakibatkan tragedi Sungai Kim Kim berulang sehingga menyebabkan ramai penduduk terjejas,” katanya ketika ditemui.
Semalam, media melaporkan pencemaran bau yang berlaku sejak Isnin lalu, di Jalan Seluang, Taman Tanjung Puteri Resort, menyebabkan penduduk bimbang tragedi Sungai Kim Kim pada 2019, berulang semula.
Penduduk dilaporkan mengadu sakit hidung sehingga mengakibatkan mata pedih dan tekak kering dengan ada penduduk loya dan pening kepala.
JAS Johor kemudian dilaporkan mengambil sampel air longkang awam di situ bagi mengenal pasti dalang yang menyebabkan pencemaran bau itu berlaku.
Seorang lagi penduduk, Naji Hurairah, 42, berkata beliau sekeluarga turut dilanda kebimbangan berikutan pencemaran bau yang berlaku sejak Isnin lalu itu mulai kerap semula.
“Saya terhidu bau kuat seakan bau kimia serta asid yang menyakitkan saluran pernafasan sejak Isnin lalu.
“Ketika itu saya baru pulang kerja. Akibat risau keselamatan anak yang masih kecil, saya membawa keluarga ke rumah saudara di Johor Bahru buat seketika.
“Bau pencemaran Isnin lalu semakin hilang namun kadang kala bau kuat seperti tempoh hari akan muncul semula menyebabkan penduduk kembali risau,” katanya.-Berita Harian