SEREMBAN: Seorang lelaki nekad melarikan diri ketika pemeriksaan polis kerana bimbang berdua-duan bersama teman wanita di dalam kereta tanpa lesen memandu, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 malam di tepi Jalan S2 G2, Garden Avenue, di sini, suspek dikatakan turut bertindak agresif dengan menghimpit motosikal polis ketika cuba melepaskan diri.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, kejadian lelaki itu ditahan polis dirakam pengguna jalan raya lain dan tular sejak malam tadi.
“Pasukan Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Seremban ternampak sebuah trak pikap berwarna putih jenis Toyota Hilux berhenti di tepi jalan berkenaan dan dalam keadaan mencurigakan.
“Pasukan RCJ mendekati kenderaan itu dan ketika mahu melakukan pemeriksaan, suspek terus memecut kenderaan dan melarikan diri menggunakan laluan bertentangan ke Jalan Kayu Ara.
“Polis mengejar suspek dan bertindak agresif dengan menghimpit motosikal digunakan anggota kami bagi mengelak daripada dipintas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas beliau, selepas kira-kira tiga kilometer (km), kenderaan dinaiki suspek berjaya ditahan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek melarikan diri kerana panik ketika berdua-duan bersama teman wanita dan memandu kenderaan milik syarikat tanpa lesen memandu,” katanya.
Mohamad Hatta berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu.
Terdahulu tular satu video memaparkan seorang lelaki ditahan bersama seorang wanita dan dilihat seolah meminta maaf dalam keadaan berlutut di belakang sebuah trak pikap.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.