Tumpuan :
Nasional

Bilik penjana salur elektrik ke HTJ terbakar

SEREMBAN: Sebuah bilik penjana yang membekalkan elektrik ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini terbakar tengah hari tadi.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, PgKB II Khir Amir Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 12.40 tengah hari.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian didapati berlaku kebakaran membabitkan bilik penjana elektrik berkeluasan 45.7 x 12.1 meter persegi yang musnah kira-kira 40 peratus.

“Bagaimanapun, kejadian tersebut tidak melibatkan mangsa dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata punca kebakaran berikutan sebuah lori dipercayai membawa bahan binaan yang melalui kawasan itu tersangkut pada kabel elektrik menyebabkan tiang kabel terbabit patah.

Khir Ahmad berkata operasi pemadaman membabitkan 13 anggota itu tamat kira-kira 1.30 tengah hari. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini