
Oleh: Siti Khadijah Jaafar
KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil tindakan pantas dan segera terhadap individu yang melakukan kesalahan atau mencetuskan provokasi sepanjang pilihan raya negeri (PRN) 2023 menerusi pemantauan pasukan Op Cantas yang akan menyalurkan maklumat secara langsung ke bilik gerakan Op Room Cantas yang berpusat di Bukit Aman.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata setiap insiden juga akan dipantau dan dirakam mengikut masa sebenar (real time).
“Ini adalah bilik op room pusat kawalan Op Cantas PDRM yang mana pusat ini kita tempatkan semua link enam negeri yang mana link ni semua op cantas 82 team . Sebelah sana kita ada dron yang memantau di enam negeri. Semua maklumat akan disalurkan oleh pasukan di lapangan dan unit dron yang diterbangkan di setiap negeri,” katanya.
Razarudin berkata demikian dalam sidang media Op Room Cantas di Bukit Aman, sebentar tadi.
Pasukan Op Cantas ujarnya akan bergerak pada masa kempen dan ceramah di daerah dan kontinjen ditetapkan.
Pihaknya juga akan memastikan setiap siasatan berhubung kesalahan sepanjang PRN akan diselesaikan dalam tempoh tujuh hari sebelum dihantar kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Ia bagi memastikan tiada kelewatan berlaku.
Dalam pada itu, Razarudin berkata proses penamaan calon berjalan lancar di semua 173 pusat penamaan.
“Apabila berjalan lancar, tiada insiden berlaku, saya rumuskan di sini kematangan calon dan penyokong dalam proses penamaan calon berjalan lancar dan polis berterima kasih kepada semua penyokong parti yang hadir pada pagi ini bermula 9 pagi tadi,” katanya.