Tumpuan :
Nasional

Bilangan rakyat Malaysia berkahwin tahun 2022 menurun

Oleh: Shuhadah Marzuki

Petaling Jaya: Jumlah perkahwinan yang direkodkan pada tahun 2022 adalah 214,824, menurun 0.5 peratus daripada 215,973 pada 2021.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan, penurunan bilangan perkahwinan ini disumbangkan oleh penurunan 4.1 peratus bilangan perkahwinan Orang Islam pada 2022 (168,726) berbanding 2021 (176,002).

Ketua Perangkawan, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, tiga negeri yang menunjukkan penurunan perkahwinan tertinggi kumpulan Orang Islam adalah W.P. Putrajaya (19.6%), diikuti Perak (12.8%) dan Terengganu (11.3%).

Sebaliknya, bilangan perkahwinan Orang Bukan Islam pula merekodkan peningkatan 15.3 peratus daripada 39,971 (2021) kepada 46,098 (2022).

Tiga negeri yang menunjukkan peningkatan tertinggi perkahwinan Orang Bukan Islam iaitu Terengganu (40.2%), Johor (26.6%) dan Negeri Sembilan (21.1%).

Jabatan Perangkaan turut melaporkan, keseluruhan kadar perkahwinan am bagi pengantin lelaki menurun daripada 46.0 kepada 45.3 bagi setiap seribu penduduk lelaki berumur 18 tahun dan lebih yang belum berkahwin.

Trend yang sama turut direkodkan untuk pengantin perempuan penurunan menunjukkan daripada 47.6 kepada 47.1 bagi setiap seribu penduduk perempuan berumur 16 tahun dan lebih yang belum berkahwin.

“Selari dengan peningkatan keseluruhan bilangan perkahwinan, kadar perkahwinan am bagi pengantin lelaki Islam juga menurun daripada 60.4 kepada 57.3 bagi setiap seribu penduduk lelaki Islam berumur 18 tahun dan lebih yang belum berkahwin.

Kadar perkahwinan am bagi pengantin perempuan Islam turut mencatatkan penurunan daripada 62.0 kepada 59.1 bagi setiap seribu penduduk perempuan Islam berumur 16 tahun dan lebih yang belum berkahwin,” Datuk Sri Dr. Mohd Uzir menjelaskan melalui satu kenyataan.

Namun, bagi Orang Bukan Islam, kadar perkahwinan am bagi pengantin lelaki Bukan Islam meningkat daripada 22.4 kepada 25.7 bagi setiap seribu penduduk lelaki Bukan Islam berumur 18 tahun dan lebih yang belum berkahwin.

Trend yang sama juga berlaku kepada pengantin perempuan Bukan Islam, meningkat daripada 23.6 kepada 27.0 bagi setiap seribu penduduk perempuan Bukan Islam berumur 16 tahun dan lebih yang belum berkahwin.

Loading...
Terkini