KOTA TINGGI: Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini, mula berkurangan setakat jam 8 pagi tadi.
Sebanyak 84 mangsa membabitkan 25 keluarga direkodkan, berbanding 88 mangsa daripada 27 keluarga pada jam 12 tengah malam tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam satu kenyataan, berkata jumlah mangsa banjir yang berkurangan adalah mereka yang sebelum itu ditempatkan di PPS Dewan Muafakat Bandar Penawar.
“Sehingga jam 6 petang semalam, terdapat 62 mangsa membabitkan 20 keluarga dari Taman Desaru Utama dipindahkan ke PPS itu.
“Namun, sehingga jam 8 pagi tadi, hanya 18 keluarga terdiri daripada 58 mangsa sahaja yang tinggal ditempatkan di situ,” katanya.
Katanya, PPS di Dewan Kampung Baru Sungai Mas pula masih kekal menempatkan 26 mangsa terdiri daripada tujuh keluarga dari Kampung Baru Sungai Mas di sini.
“Kedua-dua PPS ini mula dibuka sejak jam 9.30 pagi tadi dan setakat ini tiada PPS baharu dibuka,” katanya.
Sementara itu, sehingga jam 4.50 pagi tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di tiga daerah di Johor termasuk Kota Tinggi dan dijangka berterusan sehingga jam 9 pagi ini.
Cuaca di Kota Tinggi dilaporkan mendung sejak tengah malam tadi dan cerah pada jam 4 pagi, sebelum kembali hujan pada jam 8 pagi tadi.