comscore
Tumpuan :
Nasional

Bilal terkejut penunggang terbabas masuk masjid

KULIM: Seorang penunggang maut apabila motosikal yang ditungganginya terbabas sehingga memasuki ruang solat di Masjid Guar Lobak, Padang Serai, di sini awal pagi tadi.

Lelaki dalam lingkungan umur 20-an itu dipercayai menunggang motosikal seorang diri ketika kejadian sekitar jam 5.45 pagi.

Menurut bilal masjid itu, Shukri Mohamad kejadian berlaku selepas sebuah van kilang yang berhenti di hadapan masjid itu beredar dan secara tiba-tiba motosikal itu meluru masuk dengan laju dan melanggar tiang dalam masjid.

Katanya, ketika kejadian, dia baru saja sampai di masjid berkenaan untuk melakukan persiapan untuk melaungkan azan subuh.

“Kejadian itu berlaku di depan mata saya dan ketika itu ada van kilang berhenti di hadapan pintu pagar masjid kerana pemandu van itu hendak menggunakan tandas.

“Selepas itu, dia hendak tutup pintu pagar masjid kerana hendak beredar dari situ tapi saya beritahu dia supaya membiarkan saja pintu itu terbuka kerana ketika itu sudah hampir waktu subuh dan jemaah akan datang menunaikan solat,” katanya.

Menurut Shukri, sebaik van itu beredar, secara tiba- tiba sebuah motosikal dengan laju datang dari arah Jalan Sidam Kanan dan terus memasuki ke dalam kawasan masjid.

Katanya, motosikal yang ditunggangi lelaki itu kemudian merempuh tembok masjid itu sebelum terbabas ke ruang solat.

“Mangsa terjatuh pada dua tiang di hadapan manakala motosikalnya pula terpelanting kira-kira tiga meter daripada mangsa.

“Saya terus meluru ke arah mangsa dan ketika itu ternampak mangsa berlumuran darah malah saya sempat mengajar mangsa mengucap dua kalimah syahadah dan turut dibantu jemaah lain tiba tidak lama kemudian.

“Mereka kemudian membantu menghubungi ambulan serta pihak polis,” katanya.

Loading...
Terkini