comscore
Tumpuan :
Hiburan

Bila kes berpanjangan, beberapa projek saya di masa depan tertangguh – Sharnaaz

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Sharnaaz Ahmad melahirkan kekecewaannya apabila kes masih tertangguh dan mengambil masa lebih setahun.

Pelakon berusia 38 tahun itu berdepan pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium, tahun lalu.

Sharnaaz mengemukakan representasi untuk menggugurkan pertuduhan itu selepas pengadu menarik balik laporan ke atasnya.

Bapa kepada seorang anak lelaki ini, turut mengakui terganggu berikutan banyak urusan dan kerjanya tertangguh disebabkan mempunyai kes di mahkamah.

“Bila kes ini masih berpanjangan, beberapa projek saya di masa depan tertangguh kerana dia akan naik ‘warning’ kat dalam sistem terutamanya bank.

“Jadi banyak kerja, perjalanan dan perniagaan tertangguh, benda ini jadi bukan saya minta, saya pun ada urusan yang perlu saya uruskan, tapi nak buat macam mana kita kena ikut ‘law’ (undang-undang).

“Bagaimanapun, saya masih menghormati sistem perundangan di Malaysia,” katanya ketika ditemui sebaik selesai prosiding di mahkamah hari ini.

Sharnaaz berkata, kes yang dihadapinya iaitu di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan sangat kecil dan terpencil.

“Kes saya (Seksyen) 323 (Kanun Keseksaan) terpencil tetapi mengambil masa setahun setengah tapi tidak mengapa saya ikut dan reda cara mahkamah berurusan kita kena hormati cara mahkamah.

“Kita bukan nak tunjukkan bahawa kita tak bersalah, benda boleh selesai kita selesai secara elok itu saja,” katanya.

Ditanya mengenai kekecewaan penangguhan kes hari ini, dia berharap 17 November ini keputusan representasi itu akan diperoleh selepas dua kali tertangguh.

“Benda ini jadi bukan saya minta tetapi dah lebih setahun saya kalau boleh nak percepatkan sebab banyak urusan yang perlu diuruskan tetapi kecewa itu datang sikit tetapi nak buat macam mana kita kena ikut undang-undang.

Terdahulu, Mahkamah Majistret menangguhkan keputusan representasi dikemukakan pelakon terbabit untuk menggugurkan pertuduhan kes berkenaan, ke 17 November depan.

Majistret, Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, menetapkan tarikh berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, memaklumkan representasi berkenaan masih dipertimbangkan AGC.

Nadia Eleena mengesahkan representasi itu masih di peringkat pertimbangan berhubung perkara dibangkitkan peguam bela Sharnaaz.

Peguam bela pelakon berkenaan, Mohamed Baharuden Mohamed Ariff, tidak membantah permohonan terbabit.

Media melaporkan peguam bela Sharnaaz, Datuk Abu Bakar Isa Ramat mengesahkan representasi itu dihantar ke AGC pada 2 Mei lalu.

Pada 18 Januari lalu, Sharnaaz mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret sama.

Berdasarkan pertuduhan, pelakon itu didakwa pada 16 Jun 2022 jam 8.30 malam ketika berada di kawasan lif sebuah kondominium dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang individu berusia 27 tahun.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini