Oleh: Izzatie Rizan
SERDANG: Lazimnya selepas menikmati sebiji buah mangga bijinya akan terus dibuang.
Namun menerusi kajian yang dilakukan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), biji mangga kini ada harga malah boleh dijadikan kopi.
Meskipun tidak mempunyai kandungan kafein di dalamnya, jangan terkejut kerana ia turut memiliki aroma persis kopi.
Penghasilan kopi istimewa ini dicetus sekumpulan pelajar tahun ketiga Fakulti Sains dan Teknologi Makanan.
Berkongsi kepada Buletin TV3, Nurul Iwana Jaidi berkata sisa biji mangga yang sering dijadikan bahan buangan mendorong mereka melakukan kajian khusus mengenainya.
Apatah lagi buah yang mengandungi pelbagai khasiat ini merupakan buah kegemaran rakyat Malaysia.
Menurutnya, usaha ini turut dilakukan bagi menambah nilai produk berasaskan mangga selain menarik minat orang ramai.
“Ini juga salah satu cara untuk melestarikan alam sebab selalunya biji mangga ini orang akan dibuang.
“Potensinya juga besar yang sebenarnya ramai orang tak tahu biji mangga punyai rasa unik serta mirip kopi.”katanya
Bagi menghasilkan kopi ini, biji mangga akan ditapai selama dua hari untuk menaikkan rasa serta menghilangkan getahnya.
Proses diteruskan dengan memanggang biji mangga yang kemudian akan dikisar menjadi serbuk.
Turut menggunakan kaedah teknologi pengeringan semburan, kopi biji mangga ini dihasilkan tanpa pengawet serta pewarna.
Selain sesuai dijadikan alternatif buat penggemar kopi yang sensitif dengan kafien.
Ketika ini kajian hanya dilakukan pada biji mangga jenis susu yang mana pada masa akan datang pelajar ini, berhasrat menghasilkan kopi biji mangga jenis lain terutamanya harum manis.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.