comscore
Tumpuan :
Nasional

Bida kejohanan: MPM perlu dapat kebenaran KBS

Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) tidak boleh sewenang-wenangnya membuat tawaran untuk menjadi tuan rumah kepada Kejuaraan Kelayakan Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak CP Antarabangsa (IFCPF) – Asia Oceania 2025.

Tindakan itu menyaksikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh sekali lagi mengeluarkan amaran tegas dengan menyatakan sebarang tawaran untuk menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah kejohanan bertaraf antarabangsa perlu mendapatkan kelulusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terlebih dulu.

MPM menerusi Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, baru-baru ini berkata pihaknya tidak akan melepaskan peluang untuk membida sebagai tuan rumah bagi Kejuaraan Kelayakan Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak CP Antarabangsa (IFCPF) – Asia Oceania 2025 untuk diadakan di Kuala Lumpur pada 2025.

Justeru, tindakan itu dilihat bercanggah dengan arahan yang ditetapkan oleh kerajaan menerusi Akta Pembangunan Sukan 1997 di bawah Seksyen 33 yang menyebut mengenai syarat kelulusan untuk menjadi tuan rumah bagi pertandingan antarabangsa.

“Saya tidak tahu mengenai perkara ini,” kata Hannah ketika ditanya mengenai perkara berkenaan, semalam.

“KBS sudah menghantar surat kepada semua persatuan sukan bukan saja kepada persatuan sukan malah membabitkan belia di mana apabila mereka mahu membida untuk penganjuran apa-apa acara antarabangsa, mereka perlu mendapatkan kelulusan daripada Menteri terlebih dulu.

“Ini kerana kita ingin mengetahui sama ada status kewangan mereka kuat dan mereka mampu laksanakannya.

“Kita tidak mahu kes seperti sebelum ini di mana ada persatuan melakukan bidaan dulu hak penganjuran dan kemudian minta duit. Kerajaan sudah bahaskan bajet bagi 2025 dan dalam bajet itu hanya ada dalam perancangan KBS saja. Jadi kita mahu semua memberikan kerjasama.”

Merujuk Akta Pembangunan Sukan 1997, di bawah Skesyen 33, ia menyatakan tiada sesiapa boleh membuat tawaran ataupun menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah bagi apa-apa pertandingan atau acara sukan antarabangsa di Malaysia tanpa kelulusan bertulis menteri terlebih dahulu dan keputusan menteri adalah muktamad.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini